MXM Mengunjungi Malaysia Untuk Pertama Kali Demi Peminat

1hb Mei 2018, MXM Match Up Fan Meeting in Kuala Lumpur



Baru-baru ini, kumpulan duo MXM  telah diterbangkan khas dari Korea Selatan bagi menjayakan acara perjumpaan dengan peminat di Malaysia. MXM merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi peminat K-Pop di Malaysia. MXM yang dianggotai Lim Youngmin (23) dan Kim Donghyun (20) merupakan satu bakat besar yang berada di bawah naungan Brand New Music dan Warner Music Korea. Sebelum  ini, Youngmin dan Donghyun bersama-sama dua rakan seperjuangan, Lee Daehwi  dan Park Woo Jin dikenali sebagai Brand New Boysdan populariti mereka melonjak naik selepas mereka menyertai satu program realiti “Produce 101 Season 2” di mana Daehwi dan Woojin memenangi program tersebut dan debut sebagai ahli kumpulan Wanna One. 
MXM yang bermaksud Mix dan Matchkemudiannya ditubuhkan sebagai projek unit dan secara rasminya Youngmin dan Donghyun memulakan karier seni mereka sebagai duo pada 6 September 2017 melalui lagu debut mereka yang berjudul “I’m The One”.
Dalam sidang akhbar yang berlangsung pada 30 April yang lalu, Youngmin yang menjadikan penyanyi Jay Park sebagai rol modelnya menyatakan hasratnya untuk mencuba konsep baru seperti  band muzik dan memandangkan mereka bernaung di bawah  satu label hip-hop, mereka juga ingin mencuba genre hip-hop. Lagu terbaru mereka,  Gone Cold’ dan ‘Love Me Now’ merupakan lagu yang mempunyai element atau konsep yang berbeza berbanding lagu mereka sebelum ini seperti ‘I’m The One’ dan ‘Diamond Girl’. Hal ini membuktikan MXM tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan mampu untuk membawa sesuatu konsep dengan baik.

YoungMin di Sidang Media


“Saya tak begitu mahir bermain alat muzik. Tetapi sekiranya diberi peluang, saya ingin mencuba konsep band muzik ini kerana saya sudah tahu bermain gitar dan piano”, ulas Donghyun apabila ditanya sekiranya mereka tahu bermain alat muzik. Seperti kumpulan idola yang lain, MXM juga mempunyai hasrat untuk berkolaborasi bersama penyanyi senior kegemaran mereka. 
DongHyun di Sidang Media
“Saya amat meminati penyanyi Jay Park sejak dari kecil dan sekiranya berpeluang, saya ingin berkolaborasi dengan beliau”, ujar Youngmin. Donghyun pula berhasrat untuk berkolaborasi bersama penyanyi Crush dan duo Bolbbalgan4.
MXM Match Up Fan Meeting in Kuala Lumpur” yang dibawakan khas melalui usahasama iMe Malaysia dan Warner Music Malaysia ini telah berlangsung selama lebih kurang 2 jam bertempat di HGH Convention Hall, Sentul dan dihadiri kira-kira lebih 1,000 peminat. 
“Ini merupakan kali pertama kami datang ke Malaysia dan semasa berada di Korea, kami diberitahu bahawa ramai peminat di Malaysia ingin bertemu dengan kami. Jadi, kami berasa sangat gembira kerana dapat berjumpa sendiri dengan peminat-peminat di sini dan kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik!”, ujar Donghyun yang meminati penyanyi Park Hyoshin di sidang akhbar apabila ditanya bagaimana perasaan mereka apabila berada di Malaysia. 
Youngmin yang lahir dan dibesarkan di Singapura kelihatan malu-malu apabila menjawab pertanyaan mengenai perbezaan atau persamaan antara Malaysia dan Singapura. “Saya tinggal di Singapura sehingga berumur 5 tahun. Jadi, saya tak berapa ingat memori ketika berada di Singapura kerana saya masih kecil ketika itu” ujarnya.


MXM mempersembahkan 6 buah lagu mereka yang berjudul ‘I’m The One’, ‘Errday’, ‘Just Come Out’, ‘Diamond Girl’, ‘Gone Cold’ dan ‘I Just Do’ dengan begitu bertenaga dan penuh bergaya. MXM juga kelihatan sangat mesra melayan para peminat dan mereka tidak menolak apabila peminat meminta mereka melakukan tarian seksi atau aksi comel. Sesi interaksi bersama peminat begitu meriah sekali ketika segmen ‘Sejauh mana anda mengenali MXM’ dan MXM juga mempamerkan kebolehan melukis mereka untuk segmen teka lukisan. Peminat bertuah yang dipilih sendiri oleh MXM membawa pulang poster dan lukisan yang dilukis oleh MXM beserta autograf.
Kemeriahan acara bertemu peminat ini dimeriahkan lagi dengan dendangan lagu ‘Rasa Sayang’ oleh MXM sendiri! Mereka mengenakan sampin sambil menari dan menyanyikan lagu ‘Rasa Sayang’ bersama-sama peminat. Pengacara Hani Fadzil juga sempat mengajar beberapa ayat Bahasa Melayu seperti ‘saya sayang awak’ dan ‘lek lu'(tunggu sekejap) kepada MXM dan mereka menyebut setiap ayat dengan fasih sekali!



Sebelum meninggalkan pentas, Youngmin berkata MXM tidak akan berada di pentas ini tanpa sokongan peminat mereka. “Saya sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama-sama peminat di sini dan saya tidak akan melupakan kenangan sepanjang berada di Malaysia. Saya berjanji akan terus berusaha keras sebagai balasan atas sokongan yang anda berikan”, ujarnya. Tambah Donghyun, walaupun jarak di antara Malaysia dan Korea adalah sangat jauh, tetapi apabila berada di hadapan para peminat mereka, dia dapat merasakan dia sangat dekat dengan peminatnya di Malaysia. MXM juga berjanji kepada peminat mereka bahawa mereka akan berusaha keras dan kembali ke Malaysia pada masa yang akan datang.

Terima kasih kepada iMe Malaysia dan Warner Music Malaysia kerana menjemput Buletin Kpop. KLIK SINI untuk gambar-gambar foto MXM semasa di sidang media dan fanmeeting.

Artikel oleh : Aya
Foto oleh : Opie
Share on facebook
Share on twitter