SungHoon dan The King Menghangatkan KLCC Convention Centre sempena Festival “Korea Drama Night” bersama peminat



Seawal jam 10.00 pagi, KLCC Convention Center telah dibanjiri oleh para peminat Romantic King Sung Hoon!  Walaupun sesi bertemu peminat anjuran Korea Tourism Organization Malaysia ini dijadualkan bermula pada jam 7.00 malam tetapi para peminat sangat teruja dan telah beratur dari awal pagi untuk melihat kelibat oppa macho ini.  Kemunculan Sunghoon buat pertama kalinya ke Malaysia disambut dengan jeritan seramai 1,200 peminat yang hampir menggegarkan Plenary Hall.  Dimulakan dengan sebuah lagu rancak Pumping Jumping, Sunghoon telah menghangatkan lagi suasana dewan dengan tarian yang bertenaga.
“Apa khabar?  Nama saya Sung Hoon hahahaaaaaa!!”, Sunghoon ketawa seakan sedikit gementar sambil memperkenalkan diri sebaik sahaja selesai lagu pertama.  Sunghoon menyatakan beliau amat berbesar hati kerana diundang bagi memeriahkan Festival Korean Drama Night di Malaysia dan sekaligus dapat bertemu dengan peminat-peminat Kdrama di sini.  Sunghoon menyatakan yang beliau masih banyak tidak mengetahui tentang Malaysia, beliau berharap peminat-peminat dapat menunjukkan wajah atau imej sebenar para peminat di Malaysia.   Apabila ditanya apakah makanan Malaysia yang telah dicubanya, pelakon yang berasal dari wilayah Daegu ini menyatakan bahawa beliau telah mencuba mee kari yang amat sesuai dengan citarasanya dan berminat untuk mencuba makanan harian rakyat Malaysia lagi.  Sunghoon berharap dapat mencuba kelazatan nasi lemak sebelum pulang ke Korea Selatan.  Secara jujur, Sunghoon menyatakan dirinya adalah seorang lelaki yang pemalu. Walaubagaimanapun Sunghoon tidak menghampakan para peminatnya untuk menunjukkan “aegyo” dengan menyanyikan lagu kanak-kanak yang viral di seluruh dunia pada masa kini iaitu Baby Shark.  Nyanyian dan tarian comel Sunghoon mendapat sorakan gemuruh dari para peminat. Mana taknya, selama ini Sunghoon hanya mempamerkan imej macho dan romantik sahaja. Maka, inilah peluang peminat-peminatnya untuk melihat sisi lain Sunghoon. Ada kecomelannya di situ. Hee hee hee!


Pada sesi wawancara yang diadakan bersama media sebelum sesi bertemu peminat, Sunghoon telah mencadangkan laut musim sejuk di wilayah Gowando sebagai tempat yang wajib dilawati selain Seoul dan Busan.  Popular menerusi drama My Secret Romance yang telah selesai ditayangkan di Korea Selatan pada pertengahan tahun ini, Sunghoon akan akan memulakan penggambaran drama baru pada bulan November dan berharap agar para peminat dapat memberikan sokongan untuk drama baru tersebut. 


Tiga orang peminat bertuah telah dipilih untuk menerima photobook istimewa di sebalik tabir drama My Secret Romance yang ditandatangani oleh Sunghoon.  Acara diteruskan dengan persembahan istimewa dari Lee Pando dan Ba Wool dari kumpulan The King dengan lagu First Snow.  Paduan suara mereka sangat syahdu dan mantap!  Lee Pando merupakan pelakon baru yang bernaung di bawah syarikat yang sama dengan Sunghoon
Malam dihangatkan lagi dengan persembahan oleh kumpulan idola The King yang menyanyikan tiga buah lagu iaitu Look Back, Makes Me High dan The Ocean and You.  Ketika menyanyikan lagu Makes Me High, Sunghoon selaku sunbae(senior) kepada kumpulan The King telah meminta peminat-peminat untuk menyalakan lampu suluh melalui telefon pintar masing-masing bagi mengiringi persembahan mereka.  Seluruh dewan bermandikan cahaya dan kelihatan menarik disinari lampu suluh dan ternyata respon baik dari para peminat telah membuatkan Sunghoon dan ahli kumpulan The King terharu.  Kolaberasi antara ketua kumpulan The King, Sejin, Lee Pando dan Ho Seong yang menyanyikan lagu balada yang bertajuk Blue terus membuatkan para peminat berada di awang-awangan dengan paduan suara merdu mereka.  Peminat-peminat terus dihiburkan dengan nyanyian lagu mid tempo oleh Sunghoon oppa, bertajuk You are the World of Me yang diiringi oleh The King, Lee Pando dan Ho Seong sebagai penari latar.  Dengan perasaan berat hati untuk meninggalkan peminat-peminat, Sunghoon menyampaikan lagu terakhir yang bertajuk My Style yang menyerlahkan gaya Sunghoon yang sebenar. 


Apabila para peminat merasa sedih dan menyangka acara telah berakhir, Sunghoon tiba-tiba kembali ke pentas dan menunjukkan bakat bermain DJ turntable.  Berbakat dalam menjalankan aktiviti DJ Roi(nama pentas DJ Sunghoon) Sunghoon telah memainkan hampir 10 buah lagu dan telah menukarkan sesi bertemu peminat seperti sebuah konsert mini!  Para peminat tidak dapat menahan keterujaan, mula berdiri dan sama-sama berhibur bersama beliau.  Sunghoon yang terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para peminat menyatakan rasa sedih untuk mengakhiri acara malam itu dan sebagai tanda penghargaan sokongan para peminat, Sunghoon menyatakan hasrat untuk bertentang mata dengan setiap peminat yang hadir pada sesi Hi-5!  Hasratnya disambut dengan sorak gegar gempita yang sememangnya mahu untuk melihat Sunghoon dengan lebih dekat lagi. Sunghoon siap memakai sarung tangan untuk menghormati peminat-peminat yang beragama Islam. Bagus Sunghoon oppa ni, boleh buat suami ni. Hahaha! 
KLIK SINI untuk melihat gambar-gambar Sunghoon dan The King di sesi media dan Korea Drama Night with Sunghoon sebagai tatapan anda.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Korea Tourism Organization Malaysia dan pengurusan acara IME Asia yang telah mengundang Buletin Kpop membuat liputan media ke acara tersebut.
Artikel oleh:  Nurul
Foto oleh:  IME Asia & Nurul
Share on facebook
Share on twitter