Keadaan yang berjerebu tidak menghalang lebih 20000 peminat untuk berkumpul di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 12 September yang lalu untuk menyaksikan MTV World Stage Malaysia 2015. Barisan penghibur terdiri daripada Jason Derulo, Carly Rae Jepsen, Apink, SEKAI NO OWARI dan dari Malaysia iaitu Stacy telah membuat persembahan yang menarik minat penonton.
Kami tidak melepaskan peluang untuk pergi menyaksikan acara bertaraf antarabanga ini yang telah masuk tahun ketujuh penganjurannya di Malaysia. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami menaiki pengangkutan awam ke sana. Sebaik tiba kami mengisi perut dahulu agar lebih bertenaga dan tidak penat sewaktu konsert nanti. Selepas solat Maghrib, kami terus ke Surf Beach. Masih ramai lagi yang beratur untuk memasuki ke Sunway Lagoon.
Kami tiba di hadapan pentas sebaik Stacy memulakan persembahan. Memang teruja melihat dia beraksi untuk kali pertama di MTV World Stage. Dia menyampaikan lagu “Not For Sale” yang turut menampilkan rapper Altimet.
Selepas itu, band dari Jepun SEKAI NO OWARI membuat persembahan pertama untuk peminat mereka di sini. Mereka menyampaikan lima lagu dengan diiringi persembahan 3D laser yang menarik. Kasihan apabila melihatkan vokalis kepanasan kerana memakai jaket bulu yang tebal.
Penantian peminat K-Pop berakhir apabila Apink muncul di atas pentas berpakaian serba putih. Sorakan peminat yang kuat membuatkan enam gadis ini gembira melihat sambutan yang diberikan. Mereka menyampaikan lagu pertama “NoNoNo” diikuti belon-belon dilepaskan. Gangguan kecil ini tidak menghalang peminat untuk menyanyi bersama mereka. Mereka mula bergerak menuju ke arah penonton apabila menyanyikan lagu ketiga “LUV” dan sempat berinteraksi dengan mereka. Mereka menyampaikan lagu terakhir “Remember” diiringi dengan sorakan peminat.
Persembahan diteruskan dengan Carly Rae Jepsen yang turut pertama kali ke sini. Dia menyampaikan sembilan buah lagu termasuk dua lagu popular dan kegemaran peminat iaitu “Call Me Maybe” dan “I Really Like You”. Terdapat penonton yang tidak biasa mendengar lagu dari penyanyi ini dan agak gelisah sementara menanti lagu yang biasa dimainkan. Dia kelihatan comel memakai gaun di atas pentas.
Jason Derulo menutup tirai MTV World Stage Malaysia dengan persembahan yang bertenaga sebanyak 14 buah lagu popular dia. Dimulakan dengan lagu “In My Head” sehinggalah lagu terakhir “Pull Up”.
Acara ini juga telah disiarkan di saluran MTV Asia bagi peminat yang tidak dapat ke sana dan juga bagi mereka yang ingin menonton sekali lagi.
Kesimpulannya, acara kali ini terasa kurang meriah bagi kami yang pernah menghadiri acara ini pada tahun sebelum ini. Ramai yang telah memberi komen akan perkara ini dan kami juga bersetuju. Stacy selaku wakil tuan rumah tidak diberi peluang yang adil seperti penyanyi yang lain dalam membuat persembahan. Dia hanya menyampaikan sebuah lagu sahaja. Jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini. penyanyi tempatan membuat persembahan antara 4 hingga 5 lagu untuk setiap set. Kecewa kami apabila Stacy tidak kembali ke pentas selepas persembahan beliau. Stacy yang diketahui membuat aksi persembahan menarik tidak diberi ruang untuk menunjukkan bakatnya di hadapan peminat antarabangsa.
Selain itu, barisan penyanyi juga tidak menyerlah dan banyak lagu-lagu yang dipersembahkan tidak biasa didengari. Apink juga menyanyi lagu-lagu mereka yang biasa dibawa dan tiada persembahan istimewa untuk konsert yang bertaraf antarabangsa ini. Mungkin penganjur patut memilih artis yang layak dan sesuai untuk menghiburkan penonton yang ramai ini. Bukan memilih penyanyi dari dipilih dari syarikat rakaman.
Terima kasih MTV Asia kerana menganjurkan konsert ini. Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi ia telah berlangsung dengan jayanya. Keadaan berjerebu tidak menghalang ribuan peminat untuk datang menyaksikan artis kesayangan mereka membuat persembahan.