Syarikat penganjur acara yang membawakan kumpulan B1A4 bertemu peminat di Malaysia pada bulan Januari yang lalu telah disenaraihitamkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Ini berlaku ekoran kontroversi aksi peluk dan cium antara peminat wanita dan Baro dari B1A4 yang menjadi perhatian di laman blog dan sosial tempatan. Menurut Menterinya iaitu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tindakan keras itu diambil setelah penganjur didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
Kejadian ini berlaku sewaktu acara yang berlangsung di KL Live pada Januari 10. Penganjur konsert iaitu TGM Events telah tampil dengan memohon maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati terutama dalam perkara membabitkan soal budaya dan agama serta interaksi melibatkan peminat dan artis. Tiada maklumat lanjut tempoh disenarai hitam ini buat syarikat ini.
Diharap agar kejadian ini dijadikan pengajaran buat semua pihak. Kepada syarikat-syarikat penganjur acara, diharap jangan putus semangat. Jadikan ini sebagai motivasi untuk adakan acara yang lebih baik. Buat peminat pula, jaga diri dan hiasi peribadi kerana ini turut mencerminkan keseluruhan peminat K-Pop di Malaysia. Buat B1A4 dan artis-artis K-Pop yang lain, kami tetap menanti kehadiran anda di Malaysia.
Sumber : mStar Online, The Star
Ikuti kami di :