Lima Ahli Running Man Meninggalkan Kenangan Bermakna Buat Peminat di Malaysia

 
‘Hotlink Race Start Season 2 in Malaysia Running Man Fan Meeting’!
 
ONE HD telah Berjaya menganjurkan sesi bertemu peminat Running Man buat kali pertama di Malaysia!
 
Dari Kiri : Lee Kwang Soo, Ji Suk Jin, Song Ji Hyo, Kim Jong kook dan HaHa
 
1 November, Malaysia – 5 bintang terhangat Korea Selatan telah berada di Malaysia bagi menjayakan aktiviti sesi bertemu peminat (fan meeting) – ‘Hotlink Race Start Season 2 in Malaysia Running Man Fan Meeting’! Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu ONE HD kerana memberi peluang kepada peminat-peminat Running Man bagi menyaksikan bintang-bintang kegemaran mereka beraksi di atas pentas.

Kejayaan sesi bertemu peminat (fan meeting) ini menunjukkan betapa popularnya kelima-lima ahli siri Running Man. Pada petang itu, Kim Jong Kook, HAHA (Ha Dong Hoon), Ji Suk Jin, Lee Kwang Soo dan Song Ji Hyo, telah menyemarakkan hati lebih 2500 peminat mereka pada malam terakhir mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Ini adalah kali pertama Song Ji Hyo dan Ji Suk Jin berada di Malaysia untuk acara rasmi bersama peminat. Walaupun tanpa kehadiran Yoo Jae Suk dan Gary, namun dengan kelima-lima mereka tetap berjaya menghiburkan hati peminat. Ini baru lima yang hadir, bayangkan jika ketujuh-tujuh ahli lengkap hadir. Mahu riuh dan pecah stadium agaknya.

 
Ahli Running Man sedang ditemubual oleh pengacara. (Gambar ihsan dari naddys)
‘Hotlink Race Start Season 2 in Malaysia Running Man Fan Meeting’ merangkumi semua unsur-unsur konsert muzik interaktif – lengkap dengan permainan di pentas, persembahan lagu dan video montaj beberapa adegan yang tidak dapat dilupakan dalam siri Running Man. Sebagai penghibur yang berpengalaman, mereka telah menyampaikan persembahan yang menarik dan para penonton terhibur dengan aksi mereka yang menggelikan hati. Diketahui, Kim Jong Kook dan HaHa memang seorang penyanyi. Jadi tidak hairanlah mereka boleh membuat persembahan nyanyian yang begitu bertenaga, bersahaja dan mempunyai lunak suara yang sesuai dengan genre mereka. Berlainan pula dengan Song ji Hyo dan Lee Kwang Soo yang merupakan seorang pelakon. Mereka mungkin bukan penyanyi profesional, tetapi kedua-dua pelakon ini tetap bernyanyi dan menyampaikan persembahan yang boleh tahan juga. Ji Suk Jin yang popular sebagai pengacara di Korea Selatan juga tidak kurang hebatnya. Bersut serba hitam, bernyanyi sambil memberikan beberapa kuntum mawar kepada peminat di zon VIP. Ada juga persembahan kolaborasi bersama ahli yang lain seperti persembahan Ji Hyo yang secara tiba-tiba hadir dua jejaka yang memakai topeng berwajah Gary. Mereka membuat  rap dalam lagu yang dipersembahkan Ji Hyo itu. Seperti tahu yang peminat amat sukakan ‘pasangan Isnin’ itu, mereka berlagak seolah-olah Gary ada bersama Ji Hyo ketika itu. Salah satu acara kemuncak pada malam itu apabila ‘Easy Brother’ iaitu Lee Kwang Soo dan Ji Suk Jin telah mengejutkan peminat dengan membuat persembahan parody ‘Trouble Maker’ mencetuskan gelak ketawa dan sorakan yang gemuruh dari peminat. Menahan geli melihat Lee Kwang Soo yang bertukar menjadi seorang wanita yang berambut panjang berwarna perang, manakala Ji Suk Jin dengan rambut palsunya berwarna perak, berlagak seperti Jang Hyun Seung dalam Trouble Maker. Persembahan yang sepatutnya berkonsepkan seksi dan berahi itu bertukar menjadi lucu dan menggelikan hati apabila penamatnya Ji Suk Jin menampar-nampar Lee Kwang Soo. Mereka berlari meninggalkan pentas selepas itu dengan gelak ketawa penonton melihat aksi mereka berdua.

Malam itu juga amat bermakna terutama sekali bagi 23 orang peminat bertuah yang telah memenangi peluang sekali seumur hidup untuk bersama bintang-bintang Running Man. Mereka berpeluang untuk berada di atas pentas bagi menyertai permainan dan beramah mesra dengan bintang-bintang itu. Seperti cabaran dalam siri Running Man, aktiviti –aktiviti yang menarik turut diadakan seperti bangkit tubi, ddakji, mengalihkan kacang meggunakan chop stick, menimbang bola bulu dan macam-macam lagi. Permainan berkongsi Pepero antara Lee Kwang Soo dan seorang peminat yang bertuah sudah pasti menghiburkan para peminat. Kelima-lima mereka turut menyertai permainan teka gambar, kelima-lima mereka dan para peminat diminta untuk meniru aksi-aksi imej pada skrin. Seperti mimpi apabila dapat menyaksikan kesemua bintang ini beraksi secara langsung. Segala senda gurau mereka juga berlaku di atas pentas. Mungkin sudah bertahun bersama, mereka kelihatan seperti sebuah keluarga yang suka bergurau sesama sendiri. Ada ketika permainan menolak lawan dengan punggung di mana Jong Kook seharusnya yang menang dan mengetuk lawannya (peminat bertuah). Tetapi, lain pula ceritanya apabila peminat itu mengambil pengetuk lain yang berada di tepi dan cuba untuk mengetuk kepala Jong Kook. Tidak melepaskan peluang ini, HaHa dan Lee Kwang Soo mengambil kesempatan untuk mengetuk Jong Kook bersama-sama ketika itu. Sama seperti dalam siri-siri Running Man yang kita selalu tonton, kumpulan ‘pembelot’ memang suka mengambil peluang untuk mengenakan Kim Jong Kook.

 
Sesi permainan bersama peminat bertuah. (Gambar ihsan dari naddys)
Sebelum tamat acara, kesemua kelima-lima mereka menambah lagi dua persembahan terakhir sebagai penutup konsert yang telah berlangsung selama dua jam itu. Lee Kwang Soo sempat turun dari pentas dan menuju ke arah peminat di tingkat satu dan dua. Apa lagi, tiba-tiba zon tempat duduk menjadi kecoh kerana ramai peminat cuba untuk melihat Lee Kwang Soo dengan lebih dekat. Ada yang dapat bersalaman dengan Lee Kwang Soo. Bertuah la mereka yang dapat bersalaman tu. Tidak dinafikan, sejak dari sesi autograf di Paradigm Mall lagi, admin mendapati peminat yang hadir lebih banyak menyebut nama Lee Kwang Soo. Tidah hairanlah Lee Kwang Soo mendapat gelaran Putera Asia. Memang dia layak mendapat gelaran itu kan?
 

Ahli Running Man mengambil gambar bersama peminat (Gambar ihsan dari naddys)
 
 
———————————
 
 
Lebih 4000 Peminat Running Man Berkumpul Untuk Sesi Autograf
 
Lebih 4000 peminat telah berkumpul pada pagi hari untuk menghadiri sesi autograf ahli Running Man yang telah diadakan di Paradigm Mall. Segerombolan peminat yang teruja telah tiba seawal jam 6.00 pagi bagi mendapatkan tempat yang terbaik untuk menyaksikan bintang Running Man kegemaran mereka. Untuk sesi autograf ini, ahli-ahli Running Man menandatangani poster eksklusif Race Start kepada pemenang peraduan oleh penaja dan pemegang tiket VIP.
Pandangan dari belakang pentas
 
Peminat sudah menanti sejak pukul 6.00 pagi untuk mendapatkan kawasan terbaik untuk melihat bintang Running Man dengan lebih dekat.
 
 
“Ini merupakan acara bertiket pertama dan bejaya dari ONE HD di Malaysia. Kami berbangga kerana melalui saluran ONE HD, peminat dan penonton dapat berinteraksi dengan bintang kegemaran mereka dari Korea Selatan dengan lebih dekat lagi. Pada masa akan datang, kami pasti akan membawakan lebih banyak rancangan hiburan yang berkualiti tinggi untuk tontonan penonton kami di Malaysia,” kata Virginia Lim, Timbalan Pengerusi Asian Content, Networks, Asia, Sony Pictures Television.
 
 
Peminat membanjiri Paradigm Mall di semua tingkat untuk melihat sesi autograf bersama bintang-bintang Running Man
 
 
Kejayaan besar dan reaksi yang hebat dari peminat telah mencerminkan betapa popularnya rancangan ini. Begitu ramai peminat membanjiri Paradigm Mall untuk sesi autograf itu. Dari tingkat bawah sampai ke tingkat atas penuh, dari peminat cilik sampai ke orang tua, dari bersama rakan sebaya sampai ada yang satu keluarga. Begitu hebat sekali penangan Running Man di Malaysia ini ya? Running Man merupakan rancangan no 1 tertinggi timeslot di semua saluran TV berbayar dan di kalangan penonton di Malaysia selama 4+ tahun setakat ini. Di Malaysia, rating rancangan Running Man lebih tinggi dari saluran-saluran lain termasuklah saluran TV percuma Malaysia.
 
Dua peminat Running Man yang mendapat autograf dari Lee Kwang Soo
 
 
Selain daripada Hotlink, sesi bertemu peminat ini juga turut ditaja oleh Cream-O, dengan kerjasama Red Bull, minuman bertenaga pertama di Malaysia dan Paradigm Mall.
 
‘Hotlink Race Start Season 2 in Malaysia Running Man Fan Meeting’ mungkin telah berakhir. Tetapi perlumbaan Running Man masih lagi bersambung di saluran ONE HD dengan tayangan perdana episod baru setiap Jumaat, 11.45 malam.

Untuk mengetahui maklumat lanjung berkenaan episode rancangan Running Man yang terbaru, terus menonton ONE HD, Astro saluran 393; layari laman sesawang ONE (www.onetvasia.com); atau ikuti laman Facebook ONE (www.facebook.com/ONETVASIA) dan akaun Twitter (www.twitter.com/ONEtvasia).

 

Join kami di:
Share on facebook
Share on twitter