Kedatangan 9 anak muda yang kacak lagi berbakat terdiri daripada B:eta, C:ode, D:elta, E:psilon, F:ie, G:amma, H:eta, I:ota, J:eta bertujuan mempromosikan album terbaru mereka Attention di samping mencari bakat baru utk ahli ke 10 untuk menyertai kumpulan mereka.
24042014 – SIDANG MEDIA
Sesi temu ramah bersama media telah berlangsung di Neway, One Utama, Damansara pada Khamis lepas. Sidang media tersebut berlangsung lewat satu jam dari waktu yang djadualkan, mungkin kerana hujan menyebabkan mereka tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
Setibanya kesemua ahli AlphaBAT, kami disapa dengan laungan pengenalan yang sangat bersemangat dan gagah dari mereka, terasa bergegar tempat pusat karaoke dengan kehadiran mereka. Bukan sahaja para media, malah sidang media kali ini juga terbuka kepada peminat untuk masuk dan melihat sendiri sesi ini berlangsung.
Selain bertujuan untuk bertemu peminat, mereka sebenarnya sedang mencari ahli kumpulan dari negara yang berbeza, dan bukannya khusus dan fokus di Malaysia sahaja. Akan tetapi, untuk pengetahuan, Malaysia adalah negara yang pertama dalam sesi ujibakat. Mereka juga akan melawat dan jelajah ke negara lain dalam masa yang terdekat. Menurut ketua kumpulan mereka (Beta), lawatan mereka ke Malaysia adalah lawatan luar negra yang pertama kali dan berterima kasih atas minat peminat terhadap ahli kumpulan mereka yang bakal bersama dengan AlphaBAT yang lain. Beta juga berharap agar peminat sentiasa dapat berhubung dan meramah mesra dengan peminat-peminat di Malaysia.
Iota sempat menafikan bahawa dia bukan ‘yoda’ dimana sering digelarkan oleh peminatnya sendiri tetapi seorang lelaki yang kacak orangnya. Wah betul ke kacak? Iota juga sempat menunjukkan bakatnya dan rap di khalayak dan disambut jeritan peminat dan juga tumpuan media.
Q: Tujuan dan misi AlphaBAT ke Malaysia adalah untuk mencari dan mengisi tempat ahli ke-10 , jadi apakah yang anda semua harapkan dan inginkan dari ahli baru dari Malaysia yang bakal berdiri sebagai ahli AlphaBAT?
Beta: Setiap ahli AlphaBAT mempunyai karakter mereka yang tersendiri, maka kami mengharapkan dari ahli Malaysia mempunyai bakat dari segi nyanyian dan aksi yang bertenaga di atas pentas.
Q: Seperti yang diketahui AlphaBAT mempunyai 9 ahli yang kesemuanya berasal dari Korea dan apabila ditambah ahli dari Malaysia, adakah anda semua akan menghadapi kesukaran atau sebarang culture shock dari ahli yang ke-10 nanti?
Beta: Kami tidak pernah risau mengenai perkara tersebut, kerana kesemua ahli AlphaBAT mempunyai pemikiran yang terbuka. Ini pertama kali kami melawat Malaysia, maka kami sangat yakin dan teruja untuk mengenali ahli terbaru kami nanti.
26042014 – SHOWCASE DI JOHOR BAHRU
Daebak! Itu kata-kata awal yang boleh digambarkan apabila selesai menghadiri jelajah showcase pertama kumpulan alphaBAT di bandaraya Johor Bahru minggu lalu.
Acara dimulakan dengan sesi uji bakat 5 orang peserta yang mempamerkan kehebatan mereka dalam tarian, nyanyian dan juga silap mata! Walau bagaimanapun, bagi pendapat kami tiada seorang pun yang difikirkan layak untuk menyertai kumpulan tersebut kerana masih banyak yang perlu diperbaiki dan mereka perlu berusaha lebih kuat untuk mencapaikan tahap standard yang diperlukan oleh pihak pengurusan Simtong Entertainment dari Korea Selatan.
Agak terkejut melihat ramai peminat yang rata-rata dari golongan pelajar wanita membanjiri Danga City Mall, Johor Bahru. Siapa sangka di Johor Bahru AlphaBAT mempunyai peminat mereka tersendiri! Sebaik sahaja selesai sesi uji bakat peminat menjerit kegirangan tatkala juruacara Calvin mengumumkan ahli-ahli kumpulan AlphaBAT sudah berada di belakang pentas. Mereka tampil mendendangkan lagu popular Bruno Mars – Just the Way You Are. Lagu kedua yang mereka dendangkan adalah sebuah lagu balada bertajuk Always. Kehebatan vokal mereka sangat dikagumi. Selesai lagu kedua mereka mengajak peminat untuk bermain game bersama mereka. Terbahagi kepada 3 kumpulan mereka mula memilih 9 orang peminat untuk menyertai mereka. Gelagat mereka amat mencuit hati terutama B:eta dan I:ota yang paling kecoh di antara mereka semua. Masa yang diberikan adalah 2 minit untuk mereka menghantar getah seberapa banyak yang mereka mampu melalui penyedut minuman. Acara game dimenangi oleh kumpulan H:eta, B:eta dan G:amma. Peminat diberikan hadiah berupa cd dan hadiah sabun buatan tangan esklusif dari mereka.
Mereka meneruskan acara dengan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Beast bertajuk Beautiful Night. Tarian yang mereka pamerkan sangat bertenaga dan mantap! AB City lagu yang mempamerkan karisma ahli kumpulan AlphaBAT ternyata digilai oleh peminat mereka semua. Persembahan mereka diiringi fanchant yang menarik! Lagu terakhir mereka mempersembahkan TTantara dengan gerak tari yang memukau. Mereka juga tiba-tiba membuat kejutan dengan turun ke bawah pentas dan memberi fan service buat peminat. Sokongan padu dari peminat adalah di luar jangkaan.
Selesai persembahan mereka berehat seketika sebelum acara sesi penggambaran dan tandatangan cd bagi peminat yang membeli cd album Attention. Kami cinta padamu! Itu adalah kata-kata akhir mereka lontarkan pada peminat mereka. Mereka amat berterima kasih dan terharu dengan sokongan peminat semua. Sesungguhnya kedatangan mereka memberikan pengalaman yang manis buat semua peminat mereka di Johor Bahru.
270414 – SHOWCASE DI SUMMIT, SUBANG
Setelah berjaya menggamatkan peminat dan pengunjung di selatan tanah air, hari berikutnya AlphaBAT terus menuju ke pusat tumpuan di Lembah Klang iaitu The Summit, Subang. Sama seperti di Johor Bharu, acara dimulakan dahulu dengan sesi uji bakat untuk pemilihan ahli AlphaBAT yang ke-10.
Kesemua peserta adalah rakyat Malaysia dan terdiri dari lingkungan umur 18 hingga 25 tahun. Mereka mempamerkan bakat mereka seperti rap, nyanyian dan tarian. Seperti di Johor Bharu, kami berpendapat beberapa peserta seperti tidak bersedia dalam menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjadi salah seorang ahli dalam kumpulan idola K-Pop AlphaBAT ini. Cuma ada beberapa peserta yang menunjukkan persembahan yang unik dan berani mencuba apabila dicabar oleh juri untuk melakukan sesuatu seperti menari dan rap gaya bebas. Seorang peserta yang mencuri tumpuan penonton adalah Issac yang mempersembahkan tarian bertenaganya dengan lagu terbaru EXO iaitu Overdose.
Selesai sesi ujibakat, kelihatan AlphaBAT telah tiba dan sedang membuat persediaan di belakang pentas. Peminat sudah mula menjerit-jerit memanggil nama mereka dan tidak sabar menunggu kemunculan mereka. Persembahan pembukaan adalah lagu cover ‘Love In The Ice‘ yang asalnya dinyanyikan oleh TVXQ. Lagu itu telah disusun dengan gaya mereka tersendiri. Mereka juga sempat mempersembahkan lagu dari kumpulan INFNITE ‘Nothing’s Over’ dan BEAST ‘Fiction’.
Acara permainan bersama peminat sama seperti di Johor Bharu dimana mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan dan perlu menghantar gelang getah sebanyak mungkin dengan menggunakan penyedut minuman. Pelbagai gelagat dapat diperhatikan sehingga Iota dipukul oleh salah seorang peminat yang sedang bermain kerana dia mengganggu konsentrasi peminat itu.
Lagu-lagu AlphaBAT seperti Always dan AB City juga dipersembahkan kepada peminat. Ketiga-tiga lagu yang dipersembahkan cukup membuktikan AlphaBAT idola yang berbakat dalam segi tarian dan juga vokal. Peminat bersorak dan menyanyi bersama AlphaBAT apabila lagu mereka dipersembahkan. Gamat sungguh pusat membeli belah The Summit pada hari itu. Sebelum lagu terakhir ‘DdanDdaRa’ dipersembahkan, pengacara memberitahu peminat untuk bersama-sama memberi kejutan kepada B:eta, D:elta dan H:eta sempena hari ulang tahun mereka pada bulan May yang bakal tiba. Lagu ‘Selamat Hari Jadi’ dinyanyikan dalam bahasa Korea beramai-ramai sambil dua orang wakil Alphas tampil membawa kek dengan lilin yang masih bernyala. Mereka kelihatan terkejut, terharu dan berterima kasih kepada peminat-peminat mereka di Malaysia.
Setelah lilin ditiup, lagu rancak ‘DdanDdraRa’ dipersembahkan. Sekali lagi AlphaBAT membuktikan, pentas kecil di The Summit bukanlah penghalang untuk sembilan ahli memberikan persembahan yang hebat dan bertenaga. Acara diteruskan dengan sesi autograpf dan foto bersama peminat. Acara yang mengambil masa selama 3 jam itu cukup memuaskan hati Alpha yang hadir.
Semoga AlphaBAT terus maju dan sukses dalam industri kpop di masa hadapan. Untuk tatapan gambar-gambar sewaktu acara dan majlis dijalankan, bolehlah lihat di album facebook kami.
Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur New Pro Star Sdn Bhd dengan kerjasama Simtong Entertainment kerana sudi mengundang Buletin Kpop ke acara tersebut.
Ikuti kami di: